"oh kome deroyan dah bebunge
moh kite pinang anok dare
anok dare, anok dare bote
teman jumpe di padang benggala"
Ayat di atas itu bukan pantun ye. Ayat yang saya tuliskan di atas itu merupakan lirik lagu Durian Berbunga dari nyanyian Mr. Os. Kenapa saya tiba-tiba tulis lirik lagu tersebut. Haaa... Maknanya saya nak bercerita tentang durian lah.
Sebut sahaja tentang durian mesti dalam fikiran anda terbayang kuih yang tengah terhangat sekarangkan. Durian Crepe...Kuih tu memang sedap...Tapi entri kali ini saya bukan nak kongsi resepi Durian Crepe tau, tapi resepi Kuah Durian.. Teringat masa saya kecil-kecil dahulu dalam lingkungan umur 8 tahun, masa tu saya baharu lagi pindah ke kampung dan rumah saya dekat pula dengan dusun durian opah. Kalau musim durian luruh mesti saya dan adik-adik saya berebut-rebut nak ambil buah durian yang baru luruh tu. Siap pakai helmet lagi..:)
Untuk keselamatan abah pesan. Jadi nak pendekkan cerita dalam banyak-banyak durian yang saya dan adik saya kutip tu ada la yang masih muda. Mak cakap "jangan dibuang nanti mak buat kuah durian boleh cicah dengan roti, abah kamu suka makan kuah durian". Saya pun fikir, sedap ke kuah durian tu. Maklum la duduk pekan tak pernah tahu pun. Bila dah siap masak memang sedap sangat-sangat. Hari-hari minta Kuah Durian.
Sampai dah besar ni pun Kuah Durian memang kegemaran keluarga saya. Bukan saja boleh makan dengan roti, dengan pulut pun boleh. Resepi Kuah Durian memang mudah dan senang nak buat. Bahan-bahan pun tidak banyak. Kuah durian ni bukan boleh pakai durian muda sahaja, durian yang sudah masak ranum pun boleh juga. Ok lah saya nak kongsikan resepi kuah durian ni pada anda.
Bahan-bahan
- 7 ulas durian
- 3 cawan santan
- 3 sudu besar gula
- 1/2 sudu kecil garam
- sehelai daun pandan
Cara-caranya
Campurkan kesemua bahan-bahan dan kacau rata supaya sebati dan mesra. Masak kuah durian dengan api yang perlahan dan kacau sekali-sekala. Jika kuah durian anda nampak pekat tambah sedikit air.Kemudian suaikan rasa, jika kurang manis tambah lagi gula. Bila kuah sudah masak dan mendidih boleh tutp api dan hidangkannya bersama-sama roti/ roti jala atau pulut.
*SELAMAT MENCUBA*
Oleh : Uzmira Nadia Zambri
No comments:
Post a Comment