Wednesday, 24 October 2012

Selamat Hari Raya Aidil Adha


Assalamualaikum dan selamat sejahtera...

Apa khabar anda semua? Diharapkan semuanya sihat walafiat di samping orang tersayang.. Lusa semua umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Hari Raya Aidil Adha atau dikenali juga sebagai  Hari Raya Korban.

Hari Raya Aidil Adha disambut pada hari ke-10, ke-11, ke-12 dan ke-13 Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidil Adha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidil Adha serta khutbah Aidil Adha pada pagi 10 Zulhijjah. Sambutan Aidil Adha diteruskan dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10, 11, 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Hari Raya Korban merupakan hari untuk umat Islam memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t. Betapa besarnya pengorbanan nabi Ibrahim dan Ismail.

Semangat pengorbanan yang telah dibuktikan oleh Nabi Ibrahim a.s dilanjutkan pula oleh umat Islam bagi membantu mereka yang susah. Jika semua umat Islam mampu menghayati erti pengorbanan tersebut, insyaAllah akan wujud ketenangan dan kedamaian dalam masyarakat Islam kini. Hari Raya Korban mampu mendekatkan jurang di antara yang kaya dengan yang miskin, antara yang kuat dengan yang lemah dan antara penguasa dan rakyat biasa. Marilah kita sama-sama menghayati pengorbanan ini bersama-sama.

Emm bila teringatkan Hari Raya Korban yang akan disambut nanti, pasti pelbagai menu yang telah dirancang untuk juadah hari raya nanti. Maklum la, bila dah raya korban ni maka ramai la yang akan membahagi-bahagikan daging. So, ada yang plan nak buat satay, rendang, daging salai masak lemak dan pelbagai lagi juadah istimewa. Sambutan di sebelah pantai timur pastinya lebih meriah terutama apabila semua sanak saudara berkumpul untuk sama-sama melakukan ibadah korban.  Walau apa pun juadah yang akan disediakan, pastikan tidak berlaku pembaziran, ok!

Ok, la di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh umat Islam. Semoga perayaan ini mampu menyatukan kita semua dan memberikan kesedaran kepada kita. InsyaAllah....






No comments:

Post a Comment