Friday, 9 November 2012

~ Minggu Keempat Amali Masakan~

Assalamualaikum w.b.t... dan salam sejahtera...

Minggu ini merupakan minggu ke-4 amali masakan untuk semester ini setelah seminggu kami bercuti sempena Hari Raya Korban. Rasa macam sudah lama kami tidak masuk dapur dengan kawan-kawan. Rindu pulak rasanya nak masak  bersama...

Untuk amali minggu ini, hidangan yang perlu disediakan adalah kuih muih pedas (savouri) iaitu karipap pusing dan vadai. Ini merupakan pengalaman pertama saya menyediakan karipap pusing dan vadai. Karipap pusing merupakan salah satu kuih kegemaran saya, begitu juga dengan rakan sekumpulan yang lain manakala kuih vadai merupakan kuih yang jarang kami makan.

Setelah semua bahan-bahan untuk menyediakan kuih diambil, kami membahagikan tugas yang perlu dibuat oleh setiap ahli supaya proses menyediakan hidangan kuih berjalan lancar. Saya sangat teruja untuk menyediakan karipap pusing memandangkan ini kali pertama menyediakannya dan tidak sabar untuk melihat hasilnya nanti. Apa yang menarik tentang karipap pusing adalah untuk mendapatkan karipap yang berlapis-lapis dan rangup. Teknik yang betul dan sukatan yang tepat diperlukan supaya karipap yang dihasilkan cantik, rangup dan tidak hancur. Karipap yang kami sediakan pada minggu adalah berintikan ikan sardin.

Karipap pusing sebelum digoreng
Kuih vadai pula merupakan sejenis kuih yang popular dalam kalangan masyarakat India namun kini menjadi kegemaran semua kaum. Proses menyediakan vadai agak mudah kerana tidak menggunakan banyak bahan dan semua bahan hanya perlu digaukan bersama. Vadai diperbuat daripada kacang dhal yang perlu direndam terlebih dahulu, iaitu lebih kurang 4 jam. Kacang dhal tersebut kemudiannya perlu dikisar tetapi tidak terlalu hancur. Setelah semua bahan digaul, maka vadai boleh dibentukkan (biasanya leper) sebelum digoreng.
Vadai sebelum digoreng
Kedua-dua hidangan pada minggu ini digoreng menggunakan minyak yang penuh. Teknik menggoreng yang betul juga penting supaya makanan yang digoreng tidak terlalu berminyak. Minyak perlulah betul-betul panas sebelum menggoreng dan api juga tidak boleh terlalu besar dan tidak boleh terlalu kecil. Suhu minyak perlu dikawal supaya dapat menghasilkan kuih yang cantik dan tidak terlalu berminyak.

karipap pusing siap!

Vadai siap!
Seperti biasa, setelah semua unit siap menyediakan hidangan maka sesi penilaian oleh pensyarah dan rakan-rakan berlaku.. Setiap unit berpeluang menerangkan tentang hidangan masing-masing dan membuat penilaian terhadap unit lain. Terima kasih kepada kawan-kawan dan pensyarah di atas komen dan markah yang diberikan.. InsyaAllah minggu seterusnya kita berpeluang untuk masak bersama-sama lagi...



Disediakan oleh: Waddiah (",)





No comments:

Post a Comment