Showing posts with label Minggu 2. Show all posts
Showing posts with label Minggu 2. Show all posts

Friday, 19 October 2012

Nasi Kerabu




Bahan A (Nasi)
400 gm     Beras
1     ml      Pewarna

Bahan B (Sambal Tumis)
40 gm     Bawang merah – dikisar
15 gm     Bawang putih- dikisar
5 gm       Halia- dikisar
20 gm     Cili kering – dikisar
50 gm     Serai- dikisar
150 ml    Santan pekat
100 ml    Air
3 gm       Garam
10 gm       Gula
1 keping  Asam keping

Bahan C (Serunding Kelapa)
250 gm      Kelapa parut (putih sahaja)
500gm       Ikan kembung (rebus)        
5gm          Garam halus
50gm        Serai                                   
10gm         Lada hitam                         
5gm           Halia                                  
40gm         Bawang merah                   
10gm         Gula                                               
2gm           MSG (ajinomoto)   
5ml             Jus limau

Bahan D (Daging Bakar)
250gm                Daging          
10gm                  Bawang putih
5gm                    Garam
10gm                  Gula  
50gm                  Serai 
5gm                    Serbuk kunyit
5gm                    Jintan manis
5gm                    Lada sulah                
5gm                    Halia

Bahan E (Ulam-ulaman)
30 gm     Daun kesum
45 gm     Bunga kantan
60 gm     Timun (saiz sederhana)
40 gm      Kacang panjang       
40 gm      Taugeh
1 helai     Daun kunyit (daun muda, saiz  
                sederhana)

 Cara penyediaan:
Nasi
1.      Basuhkan beras sehingga air tidak keruh.
2.      Masukkan air pada kuantiti yang sepatutnya dan titiskan pewarna tadi.
3.      Kacau sehingga pewarna dengan beras sebati supaya tiada kesan tompokan warna  pada nasi.
4.      Kemudian, tanak nasi sehingga masak. Setelah masak kacau nasi tersebut supaya tidak garing di bahagian bawahnya.

Sambal Tumis
1.      Masukkan santan pekat dan air ke dalam periuk. Kacau santan di atas dapur dengan menggunakan api perlahan sehingga menggelegak.
2.      Kemudian, masukkan bahan-bahan yang telah dikisar dan asam keping, kacau sentiasa supaya santan tidak berketul.
3.      Masukkan garam dan gula. Kemudian biarkan selama beberapa minit supaya tumis tersebut menjadi warna keperang-perangan dan mengeluarkan sedikit minyak daripada santan tadi.
4.      Tumis ini tidakboleh dibiarkan terlalu lama kerana ianya akan menjadi semakin pekat.

Serunding Kelapa
  1. Kelapa parut disangai (goreng tanpa minyak) sehingga keperang-perangan.  Goreng dengan api yang perlahan.
  2. Sementara menunggu kelapa keperangan, rebuskan ikan dan buangkan tulangnya dan tumbuk sehingga lumat.
  3. Tumbukkan kelapa yang telah siap digoreng.  Jangan tumbuk sehingga hancur.
  4. Tumbukkan bawang sehingga lumat dan masukkan ke dalam mangkuk.
  5. Serai yang telah dibersihkan, dihiris nipis dan ditumbuk sedikit sebelum dimasukkan ke dalam mangkuk bersama-sama bawang. 
  6. Tumbukkan lada hitam sehingga lumat dan campurkan ke dalam mangkuk.
  7. Gaulkan kesemua bahan-bahan sehingga sebati.  Perasakan dengan garam dan juga gula.
  8. Perahkan masukkan jus limau ke dalam serunding dan gaul sebati.
  9. Sedia untuk dihidangkan.

Daging Bakar
  1. Bersihkan daging dan masukkan ke dalam mangkuk.  Potongkan daging ke beberapa bahagian.
  2. Kisarkan bawang, halia dan serai sehingga hancur.  Masukkan ke dalam mangkuk yang mengandungi daging.
  3. Masukkan garam, gula, serbuk kunyit, jintan manis dan lada sulah ke dalam mangkuk dan gaul bersama-sama bahan-bahan lain. Perapkan selama 40mnit.
  4. Bakar dalam ketuhar dengan suhu 150°C selama 15-20 minit.
  5. Angkat dan sejukkan.  Potong daging nipis-nipis dan hidangkan bersama-sama nasi.

Ulam-ulaman
1.      Bersihkan semua ulam tersebut dan toskan.
2.      Gulungkan daun kesum dengan menggunakan daun kunyit dan hiris nipis-nipis. Begitu juga dengan kacang panjang dan bunga kantan.
3.      Gaulkan hirisan daun kesum dan bunga kantan tadi bersama.
4.      Timun boleh dihiris memanjang (kecil) atau dicincang. Pastikan timun diasingkan daripada ulam lain kerana ianya akan mengeluarkan air.

Hidangan ini juga boleh dihidangkan bersama-sama dengan telur masin, solok lada dan juga bawang putih jeruk.

~~~Selamat mencuba kawan-kawan~~~
........(^_^)........

Friday, 12 October 2012

~Minggu Kedua Amali Masakan~

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

     Entri kali ini adalah berkaitan dengan amali masakan kami yang ke-2 iaitu makanan berasaskan beras dan produk nasi. Setelah dibuat undian, menu yang kami dapat untuk minggu ini adalah Nasi Kerabu dan iringan.
Sebelum itu, mari kita lihat serba sedikit info berkaitan dengan nasi kerabu.

     Nasi kerabu merupakan hidangan nasi yang asalnya berwarna kebiruan dan biasanya dimakan dengan ikan kering atau ayam goreng, keropok, budu dan ulam-ulaman lain. Warna biru yang terhasil adalah berasal daripada bunga telang. Mungkin ramai di antara anda yang pernah melihat bunga telang tetapi tidak tahu bahawa bunga tersebut yang digunakan dalam menyediakan nasi kerabu. Disebabkan kesukaran untuk mendapatkan bunga ini, ada yang menyediakan nasi putih sahaja atau nasi kerabu kuning yang dimasak menggunakan kunyit.

     Anda tau tak bagaimana cara untuk menggunakan bunga telang dalam masakan? Di sini saya ingin kongsikan dengan anda kaedah untuk mendapatkan warna biru daripada bunga telang. Bunga telang dikeringkan di bawah matahari dan disimpan. Apabila anda ingin menggunakannya, rendam bunga tersebut dalam air dan perahkannya bagi mengeluarkan warna biru. Mudah kan?

     Nasi kerabu sangat popular di negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu.Walau bagaimanapun, sekarang ini nasi kerabu boleh didapati di seluruh negara dan bukan orang yang berasal dari pantai timur sahaja yang tahu menyediakan hidangan ini. Anda pun mesti tahu kan?

Inilah rupa bunga telang, biasanya tumbuh  meliar macam tu je
(kalau anda perasan la)
     Selain nasi kerabu yang berwarna biru tu, terdapat beberapa lagi aksesori sampingan sebagai pelengkap hidangan yang kami sediakan iaitu sambal tumis, serunding kelapa, daging bakar, telur masin, keropok goreng dan ulam-ulaman. Untuk membuat nasi kerabu kali ini, kami tidak menggunakan bunga telang tetapi menggunakan pewarna biru sahaja. 

     Sambal tumis pula, kami ubahsuai daripada resepi asal yang diberikan. Santan kelapa dimasak terlebih dahulu bersama asam keping sehingga menggelegak (pastikan santan sentiasa dikacau untuk elak daripada berketul), kemudian barulah kami masukkan bahan-bahan kisar. Kemudian, barulah kami perasakan dengan garam dan gula.

     Proses menyediakan nasi kerabu agak rumit kerana ia menggunakan banyak bahan. Walau bagaimanapun, berkat kerjasama yang diberikan oleh setiap ahli kumpulan akhirnya kami dapat siapkan nasi kerabu lebih awal dari masa yang diberikan. Terubat rindu pada kampung halaman bila dapat menikmati nasi kerabu ni. 

inilah nasi kerabu yang kami sediakan pada minggu ini.

     Seperti biasa selepas selesai menghias hidangan, maka makanan kami akan dinilai oleh pensyarah dan rakan-rakan. Kami juga berpeluang untuk menilai hidangan rakan daripada unit lain berdasarkan faktor tata sajian, food presentation, rasa dan tekstur makanan. 

Chef yang bertanggungjawab menyediakan nasi kerabu


     Untuk mendapatkan resepi penuh nasi kerabu ini, nantikan entri kami yang seterusnya.. bye..