Saturday, 29 September 2012

Asal Usul Masakan Melayu



 Masakan Melayu  adalah masakan orang Melayu dari MalaysiaIndonesiaSingapura, dan Brunei. Setiap wilayah tradisional Melayu mempunyai makanan khasnya yang tersendiri. Contohnya seperti :
  • Terengganu dan Kelantan terkenal dengan Nasi dagang, Nasi Kerabu & Keropok Lekor.
  • Negeri sembilan dengan Gulai lemak cili api
  • Pahang dan Perak dengan Gulai Tempoyak Ikan Patin
  • Kedah dengan Asam laksa dan Gulai nangka
  • Melaka dengan Asam pedas
  • Johor dengan Mi Bandung
  • Riau dengan hidangan ikan Patin;Gulai ikan patin dan Asam Pedas ikan patin
  • Melayu Deli di Medan Sumatera Utara terkenal dengan Nasi goreng teri Medan dan Gulai Ketam
  • Brunei dengan hidangan Ambuyat.

Ciri utama masakan tradisional Melayu ialah penggunaan rempah ratus yang banyak, serta santan yang penting untuk menghasilkan makanan berlemak dan pekat. Perasa seperti belacan dan budu adalah penting untuk menambah kesedapan makanan. Belacan juga digunakan sebagai bahan asas bersama-sama dengan  cili,  bawang dan bawang putihuntuk menghasilkan sambal, satu lagi perasa utama dalam hidangan. Masakan Melayu juga banyak menggunakan lengkuas dan serai makan.

Hampir setiap masakan Melayu dihidang bersama dengan nasi, makanan ruji kepada orang Melayu dan juga kebanyakan etnik lain di Asia. Walaupun terdapat banyak jenis makanan dalam masakan Melayu, biasanya semua dihidangkan sekaligus, tanpa turutan sajian seperti dalam budaya Barat. Makanan akan dijamah dengan tertib menggunakan tangan kanan (tangan kiri dikhususkan untuk penyucian diri) dan orang Melayu jarang menggunakan perkakas.  Tidak dapat dipastikan bila tradisi masakan Melayu mula wujud, tetapi rekod terawal yang ada adalah dari abad ke-15 apabila Kesultanan Melaka menjadi pusat perdagangan penting di Kepulauan Melayu.  Warisan terpenting Melaka dalam tradisi masakan Melayu terhasil dari penglibatan aktifnya dalam perdagangan rempah serta keterbukaannya kepada bahan-bahan dan kaedah masakan yang diperkenalkan oleh orang luar seperti dari Arab, ParsiChina dan India. Melaka juga merupakan pemangkin kepada pembangunan dua budaya masakan yang kaya dan unik hasil dari campuran tradisi Melayu dengan China dan Eropah, yang dikenali sebagai Makanan Baba Nyonya dan Serani. Ratusan tahun sebelum dan selepas zaman Melaka, terdapat juga kumpulan etnik bukan Melayu yang lain seperti Jawa, Bugis dan Minangkabau yang telah diserap atau diasimilasi ke dalam masyarakat Melayu, hasil dari kesamaan agama dan cara hidup, dan telah memberi pengaruh penting dalam masakan Melayu.

Nasi lemak, sejenis nasi yang dimasak dalam santan pekat mungkin merupakan hidangan Melayu paling terkenal yang mudah didapati di setiap pekan dan kampung Melayu serta dianggap hidangan kebangsaan Malaysia.  Satu lagi contoh ialah Ketupat atau nasi himpit, nasi lekit termampat yang dimasak di dalam daun kelapa, terkenal dihidang ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri. Pelbagai jenis daging dan sayur-sayuran diguna untuk menghasilkan Gulai atau Kari, sejenis hidangan kari dengan pelbagai campuran rempah yang memaparkan pengaruh India yang jelas yang diterima oleh orang Melayu sejak zaman silam. Oleh kerana kebanyakan orang Melayu beragama Islam, masakan Melayu mengikut hukum diet halal Islam secara ketat. Pengambilan protein kebanyakannya diambil dari daging lembu, kerbau, kambing, biri-biri, ayam, itik dan ikan. Daging khinzir, daging tidak halal yang lain serta alkohol adalah dilarang dan tidak terdapat dalam diet makanan seharian Melayu. Laksa, satu kacukan masakan Melayu dan Cina Peranakan juga adalah satu hidangan yang masyhur. Masakan Melayu juga mengadaptasi sesetengah tradisi masakan jiran-jirannya, seperti rendang dari Minangkabau di Sumatra, dan satay dari Jawa, bagaimanapun orang Melayu telah membangunkan cita rasa dan resipi khas mereka yang tersendiri.
(info : http://ms.wikipedia.org)

Contoh Hidangan Melayu


Keropok Lekor


 Ketupat Palas


Nasi Dagang


Nasi Kerabu




No comments:

Post a Comment